Selasa, 3 Februari 2026

PERMATA SAYU

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang"

Assalammualaikum

Hidup ini sangat menghairankan. Masa itu ibarat halusinasi yang memukau diri ini. Siapa sangka masa demi masa dan hari demi hari jauh juga perjalanan hidup ini, dan kita ibarat tersedar dari mimpi yang lena. Bagaikan tubuh dipagi hari bangun dari buai mimpi tanpa sedar kita sudah berada di titik hidup saat ini. Jika kita mengimbau kembali banyak juga kisah yang telah kita lalui, dan siapa sangka
kita berjaya harungi dengan penuh kesabaran.

Tuhan tidak pernah silap mengatur perjalanan hidup ini, malah sejak dari awal cerita hidup kita sudah tertulis hanya kita sahaja untuk nikmatinya. Bersangka baik dengan Allah, namun bohonglah 
jika kita tidak pernah persoalkan mengapa sesuatu itu berlaku dan "mengapa aku tuhan?" Percayalah wahai sahabat, semua itu ada pewarna dalan hidup ini, dimana hujung perjalanan ini kita akan tersenyum dengan bangga. 

Dunia ini bukanlah rumah untuk kita dan bukan tempat kita untuk beristirehat disini. Perjalanan kita masih jauh dan banyak fasa yang perlu kita lalui untuk ke rumah abadi. Dimana kita boleh bergembira dan bahagia selamanya. Ya, agak kolot bunyinya jika kita cerita secara terus kepada orang malah mereka akan tertawakan kita. Namun sifat optimistik kita pandang ke arah sana, ya Jannah garis penamat untuk perjalanan ini. Berusahalah aku yakin kita mampu buat. Jatuh bangun kuatkan hati cekalkan diri tajamkan matlamat kita.

Kita datang disini keseorangan dan kita akan ke sana keseorangan juga. Bahagia yang kekal menunggu kita. Ya ! aku akui kita adalah makhluk yang lemah dan penuh dengan dosa, ada masanya kita berputus asa dan bersnagka buruk dengan takdir tapi ingatlah wahai sahabat bahawa Allah tidak akan sesekali kecewakan kita kerana Allah adalah Al-Fattah (Maha Pembuka) dan Allah juga adalah Al-Latif (Maha Lembut) Allah Maha melihat dan Allah Maha mengetahui semuanya termasuklah didalam hati kita.

Bahagia, gembira, ketenangan dan redha itu sangatlah mahal dan perlukan pengorbanan untuk dibayar. Ingatlah Rasulullah SAW bersabda:



كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ، أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

Maksudnya: “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.”


Bagi aku, kebahagian itu adalah dimana kita menerima apa yang akan mendatang dan melepaskan apa yang telah terjadi. Erti kata lain nikmati, syukuri dan jalani sahaja.
Mungkin kita lelah dan juga penat hari demi hari dengan amanah tanggungjawab yang perlu dipikul malah berhadapan dengan kerenah manusia yang tiada habisnya, ingatlah wahai sahabat anggaplah semua itu "perasa" dalam cerita hidup ini dan janganlah ianya terus masuk didalam pemikiran sehingga melibatkan perasaan kita. Sangatlah tidak berfaedah untuk kita.

Ingatlah pesan ini, berlian perlukan masa untuk menjadi permata tetapi bukan semua permata adalah berlian. Teruskan melangkah, kalau hujan berteduhlah dulu dan kalau hujan sudha berhenti sambunglah melangkah.